Saturday, August 8, 2009

Saya dan "The Six Million Dollar Man"


Semasa kecil dan sudah tentunya masih di bangku sekolah rendah, saya amat meminati siri TV bertajuk “The Six Million Dollar Man” yang dibintangi oleh Lee Majors yang membawa watak Steve Austin. Ketika itu, pada pertengahan tahun 1970an, angka enam juta amat besar bagi saya dan amat sukar dicapai oleh akal saya. Hari ini enam juta dollar atau ringgit sudah menjadi mainan biasa. Walau apa pun, pada waktu itu, saya yakin enam juta ialah satu jumlah yang amat besar dan “six million dollar” ialah satu harga yang amat mahal dan bukan boleh dibayar oleh calang-calang orang.

Saya kagum dengan kekuatan luarbiasa atau “bionic” yang ada pada Steve Austin. Mata kanannya berupaya untuk melihat sesuatu dari jarak yang jauh. Tangan kanannya mempunyai kekuatan luarbiasa yang boleh mengangkat, melempar dan membaling objek-objek yang jauh lebih besar dan berat seperti, kereta, lori, batu besar dan sebagainya. Kakinya juga mempunyai kuasa yang menakjubkan sehingga boleh berlari sepantas kilat dan melompat setinggi bangunan. Kerana asyiknya saya mengikuti siri “The Six Million Dollar Man”, tanpa saya sedari, saya telah mengambil karektor Steve Austin sebagai idola saya dan waktu itu saya tak kisah mengapa, saya tak tahu sebab apa dan saya pun tidak pernah memikirkannya.

Beberapa tahun lalu, ketika itu menghantar anak perempuan saya yang ketika itu berumur 12 tahun menghadiri satu bengkel motivasi sebagai persiapan menghadapi peperikasaan UPSR tahun 6. Oleh kerana bengkel berkenaan telah diadakan pada hari Ahad, maka saya telah mengambil peluang untuk duduk dan dengar perbincangan dan topik yang dibawa oleh fasilitator bengkel. Kemudian, dalam salah satu sessi perbincangan, fasilitator tersebut telah meminta peserta-peserta untuk melukis atau melakar gambar hero masing-masing. Ramailah yang saya lihat mula melukis Superman, Spiderman, Power Rangers, Cinderella, Batman, Ultraman dan lain-lain bentuk lukisan yang hanya pelukis sahaja yang tahu apakah yang sebenarnya tersurat di atas kertas. Pada waktu yang sama, fikiran saya mula mengimbau pengalaman silam dan mula tertumpu kepada Steve Austin dan “The Six Million Dollar Man”. Seperti yang telah diketahui, Steve Austin mempunyai kekuatan luarbiasa melalui mata, tangan dan kaki “bionic”nya. Beliau juga seorang yang bijak, pintar, dan berani. Dengan kekuatan dan ciri-ciri yang ada padanya, beliau berjaya menumpaskan penjahat, membersihkan kejahatan dan menegakkan keadilan. Saya terfikir, pada waktu itu, ketika berumur 12 tahun saya inginkan kekuatan untuk melakukan apa saja untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. Sudah tentu lebih dari 35 tahun yang lalu, keinginan saya hanyalah untuk berjaya mendapatkan keputusan peperikasaan yang baik supaya saya boleh mengecek emak membeli basikal supaya saya bebas berbasikal ke mana sahaja (saya masih ingat kata-kata kepastian saya kepada emak, “Kalau emak belikan Aman basikal, emak boleh suruh Aman bila-bila masa sahaja untuk pergi ke kedai”). Hari ini saya faham bahawa kejayaan merupakan pintu laluan dan paspot untuk mencapai kebebasan dari segi mental, emosi, fizikal dan sudah tentu kebebasan spiritual. Hari ini, saya faham bahawa kita akan hanya mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat sekiranya kita memiliki kebebasan. Hari ini, api yang membakar semangat yang membara masih belum padam, walaupun sudah lebih dari 35 tahun berlalu. Semangat kejayaan akan terus saya genggam dan martabat diri, keluarga, bangsa, agama dan negara akan terus saya julang.

2 comments:

hosney said...

you make me remember of "bionic women" and "Combat" - Sgt.Sounders and Lt.Henly...

hosney said...

Where is your SiteMeter?...Six Million Dollar Man ambil da...

Design by infinityskins.blogspot.com 2007-2008