Friday, August 21, 2009

Bergantung Harap Pada Yang Maha Esa

Kejayaan ialah sesuatu yang amat relatif dan mempunyai pentakrifan yang berbagai bergantung kepada persepsi dan kefahaman individu. Walau apa pun, kejayaan adalah milik setiap insan yang bernyawa tidak mengira bangsa, darjat, agama atau warna kulit. Setiap insan yang darah merah panas masih mengalir di setiap pelusuk tubuhnya berhak menginginkan kejayaan dan berhak pula membina kejayaannya sendiri selagi bumi yang terbentang luas ini dan langit biru yang tidak bertiang membumbungi alam fana ini masih utuh menahan mamahan masa. Pengembaraan dan perjuangan membina kejayaan perlu diteruskan selagi ianya belum selesai, selagi keinginan terus membara dan selagi ikhtiar masih terbuka. Setiap usaha yang diperkukuhkan dengan doa dan diperkuatkan dengan bertawakkal kepadaNya akan diberikan ganjaran kejayaan yang amat dicitakan. Ini adalah janji Allah SWT kepada setiap insan yang pasrah mengharapkan pertolongan dan bantuan dariNya.

Bagi setiap insan yang masih bernafas, bagi setiap insan yang jantungnya masih berdegup dan bagi setiap insan yang nadinya masih berdenyut, kematian adalah suatu kepastian yang akan datang tepat pada masanya, tidak lewat atau cepat walau sedetik. Manakala kehidupan pula belum tentu. Adakah kita akan diberi kesempatan untuk melihat matahari esok hari? Tiada siapa yang dapat memberikan kepastian. Adakah kita masih berpeluang untuk meneruskan kehidupan menjelang malam? Tiada siapa yang boleh memberikan jawapan tanpa megucapkan INSYAALLAH. Tetapi, selagi kita hidup dan diberi kekuatan serta kesempatan, kita wajib berusaha untuk membina kehidupan yang lebih baik untuk esok hari. Dengan izin Allah SWT, berkat usaha yang diperahkan, keikhlasan doa yang dipohon dan tawakkal kita kepadaNya kejayaan yang dicitakan dan yang dinanti-nantikan akan menjelma juga satu hari nanti. Tetapi ingatlah bahawa sekiranya Allah SWT tidak memberikan kejayaan yang diidamkan hari ini di dunia, percayalah apa yang kita pohon dan cita-citakan sebenarnya akan dimakbulkan oleh Allah SWT di Akhirat kelak dan Syurga menanti bagi setiap insan yang beriman walaupun sebesar zarah di mana kenikmatan yang kekal abadi sedang menanti setiap penghuninya. Ini adalah sesuatu yang perlu kita yakini.

Semestinya, kita harus ingat bahawa kejayaan mudah diucapkan tetapi hakikatnya “jauh panggang dari api”. Kejayaan sebenarnya “mudah cakap dari bikin”. Kejayaan memerlukan pengorbanan segala apa yang kita sayangi dan kasihi. Kejayaan memerlukan kesabaran, ketahanan dan kekuatan. Banyak halangan yang perlu diatasi. Banyak dugaan yang perlu ditempuhi. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Jalan menuju kejayaan penuh onak dan duri. Hanya mereka yang benar-benar berhati cekal dan berjiwa tabah berpeluang dan layak menikmati kemanisan kejayaan. Seorang sahabat pernah mengingatkan kepada saya memburu kejayaan memerlukan kita membuat pilihan. Kita boleh memilih samada untuk menjadi daun atau menjadi pokoknya. Kalau kita memilih untuk menjadi daun, usaha kita tidak akan dapat bertahan lama kerana daun akan menjadi kering dan luruh. Kemudian daun akan hilang dimamah masa dan akan hilang buat selama-lamanya. Mati tidak bernisan. Mati tidak meninggalkan sebarang kesan, hilang bersama peredaran masa dan hilang ditiup bersama desiran angin. Tetapi, kalau kita memilih untuk menjadi pokoknya, walau angin bertiup kencang, walau matahari menyinar dengan gah dan walau siang dan malam silih berganti, pokok akan tetap berdiri teguh memberikan tempat untuk ranting dan daun untuk terus menyemai baktinya. Kerana kuatnya pokok, burung dapat menumpang membina sarangnya. Kerana teguhnya pokok, manusia dapat berteduh di bawahnya. Kerana tegapnya pokok, makhluk dapat mencari rezeki darinya. Daun akan silih berganti tetapi pokoknya akan terus berdiri menahan segala anasir dan gejala yang boleh menganggu dan menggugat kewujudannya. Untuk memburu kejayaan kita harus memilih untuk menjadi pokok supaya kita boleh terus berdiri tegap dengan penuh kecekalan dan kekuatan menahan segala dugaan dan cabaran.

Blog ini bukan bertujuan untuk mengajar pembaca kerana saya percaya 80% dari isi kandungan blog ini telah pun diketahui oleh pembaca. Anggaplah blog ini sebagai medan perkongsian idea dan ilmu. Walau bagaimanapun, tujuan utama blog ini ditulis ialah untuk berkongsi pendekatan dan membina perspektif yang lebih matang dalam kita menongkah arus badai dan gelombang dalam usaha kita untuk membina kejayaan. Maka, bacalah blog ini dengan hati yang terbuka dan minda yang lapang semoga pembaca akan mendapat manafaat darinya seperti mana saya sebagai penulis telah mendapat berbagai ilham dan inspirasi darinya.

0 comments:

Design by infinityskins.blogspot.com 2007-2008